Saya sebenarnya tak berapa mahir sangat tentang selok-belok mazhab pun, ada la sorang sahabat tu suruh saya cerita kat dia tentang perbezaan antara al-Syekh Ahmad bin Hajar al-Haitamiy dan al-Syekh Muhammad bin Ahmad al-Ramliy dari ulama al-shafi'iyyah. Jadi segala kesilapan fakta dan maklumat ketika menaqal harap diperbetul.
Dalam setiap mazhab yang diikut, ia mempunyai qaedah-qaedah tertentu yang wajib kita turut supaya kita tidak berlaku kecelaruan. Ulama mengatakan: "man lam yaqra' al-muhazzab ma 'arafa qawaid al-mazhab – barangsiapa yang tidak membaca kitab muhazzab nescaya dia tidak mengetahui kaedah-kaedah mazhab". Tapi yang saya nak tulis ni bukanlah bererti saya dah baca semua jilid kitab muhazzab tu, sekadar menaqal dari ringkasan para ulama jah.
Saya tidak langsung ingin membuat perbandingan antara al-Syekh Ahmad bin Hajar al-Haitamiy dan Muhammad bin Ahmad al-Ramliy dari segi keilmuan kerana kedua-duanya adalah ulama' al-ummah yang ulung. Cuma kita akan melihat serba sedikit perbezaan peranan mereka dalam mazhab dan kata-kata ulama' mengenai mereka.
al-Syekh Ahmad bin Hajar al-Haitamiy.
Nama beliau al-imam al-allamah shihab al-din abu al-abbas ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-haitamiy al-Sacdiy al-ansariy al-shafi'ie al-masriy, kemudian pada 940H beliau menetap di Makkah dan manggunakan laqab al-makkiy. Beliau dilahirkan pada 899H / 909H di Mahallah abi al-Haitam di iqlim al-Gharbiyyah di Mesir (ada bnyk pendapat tentang tarikh kelahiran, kalau ikut pendapat yang mengatakan beliau dilahirkan pada tahun 899H, bermakna beliau sempat berguru dengan Imam al-Suyutiy yang wafat pada 911H). Mula menuntut ilmu di maqam Sidi Ahmad Badawi. Pada umur 14 tahun beliau memasuki al-Azhar. Antara guru-gurunya ialah Syekh al-Islam Zakariya al-Ansariy (anak murid Ibn Hajar al-Asqalaniy), Shams al-Din al-Allamah al-Samhudiy, Shihab al-Din al-Luqaniy (saya pun tak pasti al-Luqaniy yang mana, kalau sahib Jauharah al-Tauhid namanya Ibrahim al-Luqaniy yang wafat pada 1041H), Shihab al-Din al-Bulqiniy, Shihab al-Din al-Shafi'ie al-Ramliy, al-Amin al-Ghamriy (anak murid Ibn Hajar al-Asqalaniy), Imam al-Suyutiy dan ramai lagi. Tidak sampai umurnya 20an beliau telah diberi kepercayaan mengajar dan memberi fatwa oleh guru-gurunya. Meninggal pada tahun 973H / 974H di mekah dan di makamkan di sana. rumuz Ha Jim digunakan bagi merujuk kepada Ibnu Hajar dalam kitab-kitab fiqh al-Shafi'ie. Digelar sebagai Umdah al-Muta'akhkhirin.
al-Syekh Muhammad bin Ahmad al-Ramliy.
Beliau ialah Shams al-Din Muhammad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramliy al-Ansariy (anak). Terkenal dengan gelaran al-shafi'ie al-saghir. Bapanya juga merupakan ulama besar dalam mazhab al-Shafi'ie. Apabila disebut shihab al-Din al-Ramliy ia merujuk kepada bapanya atau dengan rumuz di dalam kitab fiqh iaitu al-Shihab Mim Ra' (bapanya wafat pada 957H). Rumuz Mim Ra' digunakan bagi merujuk kepada Imam Muhammad al-Ramliy (anak). Dilahirkan pada 919H. Ada disebut di dalam kitab Abjad al-Ulum bahawa al-Ramliy adalah murid kepada al-Suyutiy, mungkin al-Ramliy disini ialah al-Ramliy (bapa) disebabkan imam al-Ramliy (anak) lahir selepas kewafatan imam al-Suyutiy. Disebut di dalam al-Khaza'in al-Saniyyah. Imam Muhammad al-Ramliy adalah mujaddid kurun ke-10. Banyak mempelajari ilmu dari bapanya. Beliau wafat pada 1004H. Terjemah riwayat hidup Imam Muhammad al-ramliy ni saya tak dapat cari secara ditil, sebab tak banyak sumber.
Ikhtilaf al-Sheikhain.
Dalam mazhab al-shafi'ie, al-syekhain merujuk kepada Imam al-Rafi'ie (623H) dan Imam al-Nawawi (676H). Bagi muta'akhkhirin al-shafi'iyyah, ia merujuk kepada Ibnu Hajar dan Muhammad al-Ramliy. Ukuran ulama' muta'akhkhirin ialah ulama yang muncul selepas zaman imam al-Nawawi dan Imam al-Rafi'ie. Manakala ulama sebelum mereka ialah termasuk golongan al-mutaqaddimin.
Perselisihan pendapat antara Ibnu Hajar dan Muhammad al-Ramliy ni sudahpun dikumpul oleh al-Syekh Ali bin Ahmad dalam kitabnya Ithmid al-Ainain Fi Ba'd Ikhtilaf al-Syekhain yang dicetak bersama kitab Bughyah al-Mustarshidin karangan al-Sayyid al-Sharif Abd al-Rahman bin Muhammad yang masyhur dengan "Ba'lawi". Khilaf ini kebnyakan dikutip dari kitab Bushra al-Karim bi Sharh Masa'il al-Ta'lim bagi pengarang Al-Shekh Sa'id bin Muhammad Ba'shan iaitu sharah kepada al-Muqaddimah al-Hadaramiyyah.
Dalam konteks perselisihan pendapat antara Ibnu Hajar dan Muhammad al-Ramliy, kebanyakan ulama Mesir berpegang dengan pendapat imam Muhammad al-Ramliy terutama kitabnya yang bernama nihayah al-Muhtaj kerana kitab tersebut telah dibaca kepada pengarangnya oleh lebih 400 orang ulama' dalam menjalani proses pentashihan. Kebanyakan kitab-kitab hashiyah muta'akhkhirin muafaqat dengan pendapat Imam al-Ramliy.
Bagi ulama Hadaramaut, Sham, al-akrad, Daghistan (negeri blh khurasan la kot), yaman, dan Hijaz, kebanyakan berpegang dengan pendapat Ibnu Hajar terutamanya kitab Tuhfah al-Muhtaj kerana ia lebih merangkumi nas-nas Imam al-Shafi'ie dan dibaca oleh ulama' muhaqqiqin yang terlalu ramai. Kemudian diikuti karangan-karangan beliau yang lain mengikut turutan iaitu Fath al-Jawwad kemudian al-Imdad kemudian al-I'ab sharh al-Ubab (beliau tidak sempat menghabiskan sharah tersebut) dan akhirnya fatwa-fatwanya. Al-Kurdiy menyebut: berfatwalah dengan Fath al-Jawwad dan al-Imdad kerana kedua-duanya kebanyakkannya muafaqat dengan pendapat Imam al-Ramliy.
Bagi mufti yang berkeahlian dalam mentarjih, dia hentaklah mentarjih pendapat yang rajih dalam mazhab yang dipegang oleh para imam-imam mazhab, tidak boleh mentarjih pendapat yang doif sekalipun ianya rajih pada pandangannya. Ini kerana ia ditanya tentang pendapat yang rajih dalam mazhab dan bukan pendapat yang rajih di sisinya. Di samping itu, para mufti harus melihat keadaan orang yang bertnya. Sekiranya ia adalah dari kalangan yang kuat berpegang dangan pendapat yang shadid maka hendaklah dia berfatwa dengan pendapat yang shadid kerana ianya lebih ihtiyat. Jika tidak maka dengan pendapat yang lebih ringan agar orang yang bertanya tersebut tidak meninggalkan terus hukum tersebut kerana dianggap terlalu berat. Ketika ditanya kepada al-imam al-allamah al-sayyid abd al-rahman Balfaqih tentang perselisihan yang berlaku antara Ibnu Hajar dan ulama-ulama yang sezamannya lalu dijawab: ikutlah sesiapa yang kamu ingin kerana mereka semuanya adalah berkemampuan. WalLahua'lam.
Rujukan:
1. Hashiyah I'anah al-talibin.
2. maklumat tahummuka haula asbab al-Ithtila baina al-fuqaha'.
3 al-sawa'ic al-Muhriqah.
4. al-Khaza'in al-Saniyyah.
5. al-Madkhal ila Dirasah al-mazahib al-fiqhiyyah.
6. al-Fawa'id al-Makkiyyah.
7. ithmid al-ainain fi Ba'd Ikhtilaf al-Shekhain.