Entry: Tabyin al-Umuur wama fiha min al-Ghuruur. Wednesday, January 03, 2007



Ilmu dan ulama.

 

Al-imam abu al-mawahib Abd al-wahhab bin Ahmad bin Ali al-shafi'i al-masriy yang lebih dikenali dengan al-Sha'raniy dalam kitabnya menasihat kepada para ulama sekurun dengannya dan kurun-kurun yang mendatang supaya kembali mencontohi akhlak para salaf al-salih. Antara katanya:.

 

"tidak seorang dari kalangan mereka keluar untuk mengajar kecuali sesudah mereka menguasai ilmu-ilmu shariah sekira-kira mereka telah meneliti seluruh dalil-dalil mazhab-mazhab samada mazhab yang telah lenyap mahupun yang masih digunakan pada hari ini".

 

Mungkin ucapannya itu lebih sesuai ditujukan kepada golongan yang sedang menuntut ilmu supaya jangan terlalu bersemangat untuk turun dalam masyarakat sedang ilmu masih belum penuh di dada.

 

Akhlak salaf al-salih saling tolak-menolak kepada orang lain apabila ditanya tentang sesuatu masalah, mereka tidak suka memberi fatwa. Bahkan lebih hebat daripada itu mereka tidak akan berhimpun lebih dari empat orang melainkan mereka akan meninggalkan majlis tersebut. Mereka tidak gemarkan kemasyhuran. Begitulah akhlak salaf- al-salih yang lebih senang menyepi diri. Amat berbeza dengan kita hari ini yang kadang-kadang menganggap kita tahu segala-galanya.

 

Sesungguhnya hakikat ilmu adalah milik Allah, Ia memberikannya kepada hamba-hambanya yang terpilih. Sesetengah orang hanya menganggap ilmu ialah tulisan yang tercatat di dalam kitab-kitab lalu berlumba-lumbalah mereka menghimpunkan kitab, setengah yang lain menganggap ilmu itu seperti suatu maklumat yang yang diketahui lalu mereka berusaha untuk mendapatkan pengetahuan yang lebih dari orang lain. Setengah yang lain menganggap ilmu ialah memahami makna lafaz lalu mereka mendalami makna-makna sedalam-dalamnya. Ilmu sebenarnya ialah sesuatu yang memberi manfaat kepada pemiliknya barulah dapat dianggap sebagai ilmu. Ia dapat dilihat dengan tanda-tandanya. Orang berilmu semakin bertambah takutnya kepada Allah. Semakin mengiktiraf kekurangan diri. Semakin merasa kehinaan. Inilah yang dikatakan hakikat ubudiyyah. Allah berfirman:

 

" sesungguhnya yang takut kepada Allah dari kalangan hambaNya adalah ulama".

 

Ilmu tidak sepatutnya digunakan untuk tujuan berjidal atau semata-mata untuk latihan mental. Ia sepatutnya diterang dan dijelas dengan penuh tawadhuk dan insaf. Dalam hadith abi Umamah yang dikeluarkan oleh imam al-tirmidhi:

 

 

"tidak sesat sesuatu kaum setelah mereka berada di jalan kebenaran melainkan didatangkan kepada mereka sikap suka berjidal".

 

Tanggungjawab terhadap ilmu.

 

Aklak salaf al-salih mereka sentiasa takut sekiranya tidak dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap ilmu. Sufyan al-thauriy pernah menyebut: "aku lebih suka sekiranya tanganku dipotong dari aku terus menulis hadith!..Subhanallah!..

 

Apa yang lebih penting dalam ilmu ialah 'amal'. Ummu al-Darda' pernah bertanya kepada seorang lelaki: "adakah kamu telah mengamalkan apa yang kamu tahu? Lelaki itu menjawab: tidak. Ummu al-Darda' mengatakan kepadanya: mengapakah kamu membanyakan hujjah Allah ke atas kamu?!..

 

Ujian orang alim.

 

Orang alim itu bukanlah hanya duduk dihadapan murid mengajarkan ilmu semata-mata. Sekalipun mereka beralasan diri mereka sebagai satu kumpulan yang tidak perlu turun berjihad seperti yang disebut di dalam surah al-taubah:

 

"(ada baiknya) jika ada satu kumpulan yang tidak keluar (berjihad) supaya mereka menuntut ilmu.."

 

Tetapi kita mesti ingat bahawa nabi juga turun berjihad sehingga patah gigi baginda.. amalan orang alim itu sentiasa berjalan selari dengan ilmunya. Dalam tempoh menuntut ilmu mereka beramal dengan ilmu tersebut.

 

Abu sa'id bin abi al-khair ketika menghadiri majlis al-syeikh ibn Ahmad al-Sarakhsi (sebutan al-Sarakhsi ialah dalam farsi manakala sebutan arab al-Sarkhasi) ketika meriwayatkan hadith:

 

"di antara kebaikan Islam seseorang ialah ia meninggalkan sesuatu perkara yang tiada kena mengena dengannya.

 

Lalu Abu sa'id bin abi al-khair berlalu meninggalkan majlis sambil berkata kepada dirinya:"cukuplah dengan satu ini untuk aku khabarkan kepada orang lain". Inilah cara dengar orang yang beruntung!

 

Golongan Terpedaya.

 

Manusia terpedaya dengan dua sebab, pertama dengan sebab keduniaan(harta dan kedudukan) dan yang kedua dengan ibtila' Allah kepada orang alim sebagai satu ujian kepada mereka.

 

Setiap golongan ada ujiannya. Golongan tasawuf ada penipu dayanya, golongan abid ada penipu dayanya, golongan kaya yang pemurah ada penipu dayanya dan golongan ulama ada penipu dayanya. Kita khususkan kepada golongan ulama (serta penuntut ilmu).

 

Imam al-Ghazali menyebut ilmu itu dua bentuk: ilmu muamalah dan ilmu mukashafah. Ramai yang mengambil berat tentang ilmu muamalah tetapi melupakan ilmu mukashafah. Ilmu muamalah ialah ilmu yang zahir dan ilmu mukashafah pula ilmu yang batin.

 

Ramai yang merasakan diri meraka tahu tetapi sebenarnya mereka tidak tahu. Ramai yang tahu tetapi tidak faham apa yang mereka tahu. Ramai yang faham tetapi mereka tidak amalkan apa yang mereka faham. Ramai yang beramal dengan apa yang mereka faham tetapi mereka tidak menghayati apa yang mereka amalkan. Ramai yang menghayati apa yang mereka amalkan tetapi amalan mereka tetap ditolak oleh Allah Taala kerana tidak menguasai ilmu mukashafah. Ilmu yang membersihkan hati dari sifat-sifat mazmumah.. sifat riya', sum'ah, takabbur. Ilmu mereka adalah untuk diperdagangkan. Untuk mendapatkan sedikit balasan manusia dengan melupakan tanggungjawab mereka terhadap ilmu. Amalan mereka pula untuk dipertontonkan kepada selain Allah. Imam al-nawawi mengatakan apabila seseorang beramal kerana selain
Allah maka itu shirik, dan apabila seseorang meninggalkan sesuatu amalan kerana takut orang mengatanya maka ia riya'.. wal'iyazubillah!

 

Ramai orang ingin digelar ulama, mereka berlumba-lumba mendapatkan anak murid yang ramai, mereka merasa hasad kepada orang lain yang berjaya menyainginya. Mereka ingin berada dihadapan mengajarkan ilmu dan tidak selesa apabila berada dibelakang untuk mendengar ilmu. Sekiranya orang memuji selain daripadanya ia merasa tidak tenteram. Ia gembira apabila orang tahu bahawa dia tahu itu dan ini.. tidak lebih hanya mengejar nama dan pangkat. Inilah sifat penuntut ilmu yang tertipu..

 

Golongan yang menuntut ilmu hadith berbangga dengan sanad-sanad yang paling hampir, mereka menaqalkan dari si fulan dari si fulan tetapi terlupa untuk mengamalkannya. Golongan yang menuntut ilmu lungah berusaha memahami sedalam-dalamnya makna ayat tetapi lupa untuk menghayati maksud dan tujuan ayat tersebut. Golongan mutakallimin terus tenggelam dalam perbahasan-perbahasan yang tidak sampai untuk aqal gambarkan. Golongan faqih terus berbahas dengan hujah masing-masing tanpa memperdulikan ruh syariat… begitulah seterusnya yang berlaku kepada golongan yang terus tertipu dengan keilmuan mereka..

 

Dalam menggarap ilmu pengetahuan, kita seharusnya tahu aulawiyyat yang perlu didahulukan. Boleh kita letakan perkara rukun untuk berjaya dalam ilmu iaitu lima perkara:

 

1)      mendengar (belajar)

2)      memahami

3)      menghafal (memelihara)

4)      mengamalkan

5)      menyebarkan.

 

Yang terlebih penting dalam kelima-lima itu ialah memahami maksud dan mentadabburnya. Sekiranya kita menghilangkan salah satu dari lima perkara ini bererti kita mengabaikan tanggungjawab terhadap ilmu.

 

Ibn al-Jauziy berpesan.. tuntutlah sesuatu yang penting daripada ilmu dan ambil ilmu mengikut kadar kemampuan. Orang yang beraqal ialah orang yang pandai mengatur umurnya dan dapat beramal mengikut kesempatan umurnya. Sekiranya ia sempat sampai (tempat yang dituju) maka ia telah menyediakan bekalan (untuk akhirat), tetapi sekiranya ia mati dalam perjalanannya maka niatnya akan meneruskan perjalanannya. Umur manusia sangat pendek sedang ilmu Allah terlalu luas. Beramalah dengan apa yang ada sementara masa masih ada supaya apa yang kita kumpul selama ini tidak sia-sia.

 

Sesungguhnya kita dituntut supaya sentiasa menambahkan ilmu tetapi mesti mengambil ingat akan tipudaya-tipudaya yang bakal kita hadapi supaya kita tidak mengabaikan sesuatu yang lebih penting. Walaupun tulisan ini agak menyentak hati-hati yang begitu dahagakan ilmu, namun inilah beberapa hakikat yang diingatkan oleh ulama-ulama kita yang ana ringkaskan dari karangan mereka. Semoga menjadi peringatan buat ana dan sahabat-sahabat.

 

 

Rujukan:

Al-kashf wa al-tabyin fi ghurur al-khalq ajma'in/asnaf al-maghrurin. - (al-Imam al-Ghazaliy).

Tanbih al-mughtarin - (al-Imam al-Shacraniy)

Sayd al-Khatir - (al-Imam Ibn al-Jauziy)

 

* Artikel ni hanyalah memenuhi permintaan sahabat ana. Tidak ditujukan kepada mana-mana pihak sebaliknya ia adalah peringatan kepada diri yang jahil ini.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments